Eidul Adha Paling Istimewa – Part 1

Terowong Muassin di pagi Eidul Adha. Jemaah perlu jalan dalam terowong ini sebelum sampai ke Kompleks Jamrah.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tiadalah daya upayaku melainkan dengan izin dan kuasaMu Ya Allah Tuhan Pencipta seluruh alam semesta.
1030 am 6/11/2011
Hari ini hari raya Eidul Adha. Berpuluh-puluh tahun, saya menyambut Eidul Adha dengan solat sunat raya, berkorban, makan-makan dan ziarah. Hari ini buat pertama kali dalam sejarah hidup, ‘sambutan’ Eidul Adha saya dan suami sangat luar biasa.
Kami berada di Mina. Cuaca panas terik. Setelah breakfast spaghetti sup yang sangat sedap di khemah buffet, suami bertanya, “Macam mana plan kita sekarang? Nak pergi Mekah? Nak melontar tak? Larat tak?”
Bertubi-tubi soalan bermain di fikiran. Walapun waktu paling afdhal melontar ialah waktu dhuha, namun jemaah Malaysia tidak digalakkan melontar pada waktu pagi kerana faktor keselamatan. Kompleks jamrah memang sangat sesak dengan jemaah dari negara-negara lain. Oleh sebab itu, waktu melontar yang dikhaskan untuk jemaah Malaysia ialah waktu malam.
Otak saya ligat berfikir. Sekarang jam 1030 pagi. Kalau melontar sekarang dan pulang ke Mekah, kami mesti pulang semula ke Mina sebelum jam 1100 malam untuk memenuhi syarat mabit separuh malam.
Kami bercadang untuk melontar Di Jamrah Aqabah – bercukur – pergi ke Mekah (jalan kaki atau naik bas? Tengoklah nanti) – rehat di hotel – tawaf – saei – pulang semula ke Mina. Mengikut rancangan asal, kami sepatutnya tiba di Mina awal pagi selepas Subuh, iaitu lebih kurang jam 6 pagi. Jadi, cukuplah masa insya Allah untuk meneruskan misi ini. Namun, Allah Yang Maha Merancang, bas kami lambat tiba di Mudzalifah, lambat tiba di Mina. Jam 10 pagi baru sampai Mina. Lagi 2 jam (12 tgh hari) dah nak masuk Zuhur. Matahari sudah terang benderang. Bolehlah kami meneruskan misi walau sudah ‘delay’ 4 jam? Larat kah?
1400 tahun yang lalu di pagi Eidul Adha, Rasul Allah saw melontar pada waktu dhuha, berkorban, bercukur dan tawaf di Baitullah (Bukhari 171). Baginda menyembelih 63 ekor kambing di bumi Mina.
Dengan semangat membara, saya yakin Saya Boleh!
Tiadalah daya upayaku melainkan dengan izin dan kuasa Allah. Tolonglah Ya Allah, permudahkanlah urusan kami.
Oh bonda Siti Hajar, aku memerlukan kekuatanmu.
Terowong Muassin
Tanpa berlengah lagi, saya memakai kasut sport shoes Nike dan membawa bekalan air mineral 2 botol. Mulut tak henti berzikir, kami berserah bulat-bulat kepada Mu Ya Allah. Tolonglah permudahkan segala urusan kami. Tolonglah Ya Allah…
Khemah jemaah Malaysia bersebelahan dengan terowong Muassin. Ini memudahkan perjalanan kami. Tak sampai 10 langkah, saya dan suami sudah selamat terjun ke dalam lautan manusia yang sedang bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam terowong. Jalan menuju ke Jamrah memang sesak, namun Alhamdulillah semua jemaah berjalan dengan teratur. Kami dikelilingi jemaah dari Turki, Pakistan, India, Russia dan beberapa negara lain. Bulu roma berdiri tegak bila terdengar laungan talbiah bergema di dalam terowong,
“Labbaik Allahumma Labbaik.
Labbaik, La Shareek Laka, Labbaik.
Innal Hamdah, Wan Nematah, Laka wal Mulk, La Shareek Laka Labbaik”.
Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah,
Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu,
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu
dan tidak ada sekutu bagi-Mu.
Air mata berjujuran sambil menapak perlahan-lahan. Hati sangat terharu bila ternampak kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang 5-6 tahun setia berjalan bersama ibunya. Di sebelah kiri pula kelihatan bayi yang sangat comel putih gebu sedang tidur nyenyak pada bahu ayahnya. Walaupun cuaca panas kering dan padat dengan manusia, ahli-ahli syurga ini sangat tenang dan bahagia.
SubhanAllah!
Siapalah aku nak merungut di bumi Mina yang indah ini?

Komplek Jamrah pada waktu malam

Jamrah Aqabah
Setelah 15 minit berjalan dalam terowong, kelihatan Kompleks Jamrah berdiri megah dari jauh. Peluh menitik-nitik, tekak agak kering. Kami meneruskan perjalanan sambil bertakbir. Hati berdebar-debar. Tangan menggengam 7 batu yang bakal menjadi peluru di Jamrah Aqabah sebentar saja lagi Insya Allah.
Saya teringat pesan seorang sahabat, “Min, Tingkat 3 selalunya tak ramai orang. Tingkat 1 selalunya penuh”. Kami membuat keputusan untuk pergi ke Tingkat 3. Ada escalator di hadapan. Benarlah kata-kata sahabat saya itu. Bila tiba di Tingkat 3, kawasannya lapang dan damai. Tak ramai Jemaah melontar di sini. Kami terus berjalan melewati Jamrah Sughra, diikuti oleh Jamrah Wusta dan seterusnya mendekati Jamrah Aqabah. Binaan Jamrah sangat besar dan tinggi seperti kapal laut. Terbayang-bayang gambar Jamrah yang asal sebelum Kompleks ini dibina. Ia jauh lebih kecil dan ruang melontar sangat terhad. Oleh kerana itulah manusia berebut-rebut dan berasak-asak hingga berlaku kemalangan dan kematian.
Alhamdulillah Ya Allah! Sesungguhnya terlalu banyak kemudahan yang disediakan untuk Jemaah Haji pada zaman sekarang. Namun, kami tidak tahu bersyukur…
Saya sudah berdiri berhampiran Jamrah Aqabah. Dengan lafaz nama Allah dan takbir, 7 batu dilontarkan dengan penuh kusyuk mengikut syiar Islam. Inilah yang diajar oleh Rasul Allah saw, maka inilah lontaran saya yang terbaik untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.
Alhamdulillah, selesai melontar kami berjalan terus keluar dari Kompleks Jamrah untuk bergerak ke Baitullah. Syukur sangat kerana berjaya ‘ujian’ pertama pada hari Eidul Adha. Ketika kaki nak melangkah keluar dari tingkat 3 Jamrah, saya tergamam seketika…

Pandangan dari tingkat 3 Kompleks Jamrah. Jalan menuju ke Mekah sesak dengan lautan manusia berpakaian putih.

SubhanAllah! Allahu Akhbar! Ramainya manusia….sangat ramai…seperti lautan putih…
Sekarang sudah pukul 1100 am, matahari sangat terik. Mampukah saya berjalan pulang ke Baitullah?
Tiadalah daya upayaku melainkan dengan izin Allah Yang Maha Kuasa.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a comment